Tuesday 2 December 2014

IPT perlu cegah kegiatan militan IS.....SINAR HARIAN....5 November 2014


Rais Yatim
Rais Yatim

KUANTAN - Tindakan pencegahan yang lebih ketat perlu diambil oleh pihak pengurusan setiap institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini bagi memastikan tiada anasir dalaman atau luaran yang mempengaruhi mahasiswa menyertai perjuangan kumpulan militan digelar IS di Iraq dan Syria.
Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, walaupun setakat ini tiada laporan yang mengatakan mahasiswa di negara ini terlibat dalam kegiatan militan namun pihak IPT perlu mengambil langkah berjaga-jaga agar tiada mahasiswa yang terpengaruh dan akhirnya menjadi militan.
"Pihak universiti perlu menapis setiap pihak dalaman atau luaran yang disyaki terlibat dalam kegiatan militan berkenaan masuk ke kampus.
"Universiti mempunyai peraturan sendiri...tidak harus terima sebarang orang untuk memberi syarahan, membuat kempen atau mengadakan perhimpunan secara besar-besaran.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan tiga kolej kediaman (mahallah) kepada pihak UIAM di Kampus Kuantan di sini hari ini.
"Setakat ini tidak ada bukti kukuh yang menunjukkan mereka itu (militan) mewakili mahasiwa. Tetapi kita akan sentiasa berjaga-jaga sekiranya ada maklumat kita akan beritahu pihak berkuasa supaya mengambil tindakan," kata Rais.- Bernama

Mahasiswa sasaran direkrut militan....SINAR HARIAN ... 2 November 2014













pdrm



KUALA LUMPUR - Kumpulan militan seperti Negara Islam (IS) menyasarkan mahasiswa bagi merekrut pengikutnya untuk berjuang di Iraq dan Syria.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kaunter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, penglibatan mahasiswa di Malaysia terhadap aktiviti militan masih lagi terkawal bagaimanapun ia harus dibendung kerana mampu merebak dengan cepat.

“Keadaan sekarang terkawal, polis sentiasa 10 langkah di hadapan. Modus operandi mereka lebih tersasar kepada pelajar kerana pelajar-pelajar ini banyak meluangkan masa di media sosial.

“Kita juga kesan beberapa penyebaran yang dibuat melalui media sosial daripada hasil tangkapan yang telah dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian selepas hadir menjadi panel di Seminar Jihad vs Militan, di Universiti Teknologi Malaysia, semalam.

Menurutnya, kebanyakan mereka yang terlibat menggunakan Facebook untuk merekrut pelajar.

Beliau berkata, setakat ini seramai 41 individu sudah dikenal pasti terlibat dengan kumpulan militan itu, dan 14 orang sudah dihadapkan ke mahkamah manakala selebihnya akan didakwa dalam tempoh terdekat.

“Mungkin (didakwa) minggu depan, kita hanya tunggu arahan Peguam Negara.

“Daripada 14 orang yang didakwa itu, hasil soal siasat dan bukti yang diperolehi menunjukkan mereka gunakan laman sosial untuk rekrut pelajar universiti ke Syria,” katanya.

Menurutnya, polis mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat yang dianggap penting kerana gerakan itu bergerak secara senyap.

“Sebagai contoh penahanan seorang wanita di lapangan terbang baru-baru adalah berdasarkan maklumat ahli keluarga dan rakan-rakannya. Jika tiada maklumat seumpama ini agak sukar kita bertindak,” katanya.

Kelmarin, seorang wanita berusia 25 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan cuba menjadi anggota kumpulan militan IS.

Ummi Khalsom Bahok, 25, didakwa cuba memberi sokongan kepada IS dengan mengambil penerbangan dari KLIA2, Sepang ke Brunei dan Istanbul, Turki untuk berkahwin dengan anggota kumpulan itu.







Polis pantau kegiatan pejuang IS tempatan... SINAR HARIAN ......17 November 2014

Wan Junaidi Tuanku Jaafar Wan Junaidi Tuanku Jaafar


KUALA LUMPUR - Polis sedang memantau rapi rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan IS dan akan mengambil tindakan sebaik saja mereka kembali ke tanah air, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, ini kerana kepulangan mereka bukan untuk menyerah diri, sebaliknya mahu menyebarkan ideologi mereka kepada rakyat tempatan.
"Mereka mahu mempengaruhi rakyat Malaysia (dengan ideologi mereka), tidak kira sama ada beragama Islam atau tidak.
"Bagaimanapun, polis tahu dan akan mengambil tindakan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan).
Wan Junaidi berkata, sebilangan daripada individu yang bercenderungan menyertai kumpulan IS telah ditahan polis.

Menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) pula, beliau berkata, setakat ini 39 warganegara Malaysia telah dikesan terlibat dengan kumpulan militan IS.
Bagaimanapun kerajaan tidak bercadang memberi butiran lanjut kerana polis masih meneruskan siasatan, katanya. - Bernama


Pantau juga....anak-anak dan jiran tetangga .....

Cadang undang-undang banteras militan....SINAR HARIAN.....26 November 2014

Najib Tun Razak


KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini merayu sokongan rakyat terhadap usaha membendung ideologi kumpulan IS dan mencadangkan undang-undang baharu bagi membanteras penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan dan pengganasan.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Kertas Putih 'Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)' di Dewan Rakyat, berharap mendapat sokongan daripada semua lapisan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan fahaman sedemikian.
 
"Kerajaan sedar undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk membendung ideologi IS.
 
"Saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia, terutama golongan belia dan ibu bapa, supaya menolak ideologi ekstrem yang boleh merosakkan masa depan kita semua," katanya.

Najib berkata, kerajaan bercadang membentangkan undang-undang baharu itu  pada sesi Dewan Rakyat akan datang.
 
Dengan adanya undang-undang baharu itu, tindakan lebih berkesan boleh diambil dalam mengekang ancaman dan penularan aktiviti pengganasan seperti kumpulan militan IS di negara ini, katanya.

"Ini sejajar dengan tindakan negara lain yang telah memperkenalkan dan memperkemaskan undang-undang antipengganasan sebagai jalan utama menangani ancaman pengganasan," kata perdana menteri.
  
Najib berkata, Kertas Putih itu juga mencadangkan pemerkasaan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Kanun Keseksaan bagi menangani ancaman pengganasan dan militan.    .
  
Beliau berkata, keamanan dan keharmonian yang Malaysia kecapi selama ini tidak ternilai dan harus terus dipelihara.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa Kertas Putih itu bertujuan mendedahkan wajah sebenar IS yang bertopengkan Islam bagi mencapai cita-cita mereka kononnya untuk menubuhkan negara Islam mengikut acuannya.
  
Beliau berkata, modus operandi perjuangan IS yang berakar umbi daripada kumpulan militan Al-Qaeda, telah diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas oleh masyarakat antarabangsa dan jumhur ulama-ulama arus perdana hari ini.
  
Katanya, ideologi IS sebenarnya berlandaskan ekstremisme dan keganasan yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti menyalahtafsirkan konsep jihad, mengeksploitasi konsep hijrah, mengkafirkan orang Islam yang tidak sehaluan dengan perjuangannya, melakukan kekejaman terhadap wanita dan kanak-kanak serta menjatuhkan hukuman bunuh ke atas sesiapa sahaja tanpa hak untuk membela diri.
  
Selain menyenaraikan IS sebagai kumpulan pengganas, Najib berkata Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan merumuskan penyertaan umat Islam negara ini dalam militan IS di Iraq dan Syria adalah bertentangan dengan syarak dan kematian mereka tidak dikategorikan sebagai mati syahid.
  
"Saya merasakan bahawa sebagai sebuah negara yang turut mempelopori pendirian wasatiyyah sebagaimana tuntutan ajaran Islam dalam semua aspek, Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan fahaman ekstrem IS adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan Perlembagaan negara.
  
"Sehubungan ini, Malaysia akan mempertingkatkan usaha menjelaskan jihad yang sebenar serta memperbetulkan persepsi Barat yang kerap mengaitkan Islam dengan keganasan," katanya.

Najib menegaskan bahawa kerajaan bimbang kepulangan rakyat Malaysia dari kawasan konflik di Syria dan Iraq boleh meningkatkan lagi risiko keselamatan kepada negara.
  
"Lebih menakutkan lagi, dengan pengalaman yang mereka ada, taktik peperangan yang mereka miliki, militan-militan ini berupaya melakukan aktiviti pengganasan secara bersendirian.
  
"Dengan kepakaran ketenteraan dan kemahiran membuat bom yang diperoleh di Syria, mereka berpotensi melancarkan serangan pada bila-bila masa sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan yang besar kepada harta awam," katanya.
  
Pada masa yang sama, Najib berkata kerajaan juga khuatir, mereka akan mewujudkan semula sel-sel pengganas dan membentuk jaringan dengan kumpulan militan sedia ada dalam negara dan serantau seperti kumpulan Abu Sayyaf di kepulauan Mindanao, Filipina.
  
"Oleh kerana kawasan operasi kumpulan Abu Sayyaf ini amat hampir dengan pantai timur Sabah, ia akan meningkatkan risiko keselamatan di kawasan itu. Setakat ini, terdapat lima orang suspek Malaysia yang dipercayai masih bersembunyi di selatan Filipina.
  
"Sekiranya rangkaian IS berjaya wujud di Sabah, tidak mustahil ia akan merebak ke Sarawak sehingga menggugat keselamatan dan keharmonian pelbagai kaum di sana," kata Najib.
  
Najib berkata, semua lapisan rakyat perlu bersama-sama kerajaan menolak sebarang ideologi ekstrem dan yakin bahawa konsep wasatiyyah adalah jalan terbaik untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan Malaysia sebagai negara berbilang kaum.
 
Pada masa yang sama, beliau berkata Malaysia akan terus komited untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa menangani ancaman radikalisme, ekstremisme, pengganasan dan militan. - Bernama



SYABAS.....PM..

Berita SINAR HARIAN 22 NOVEMBER 2014 berkaitan......Tiga suspek pengganas di Syria ditahan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua wanita dan seorang lelaki tempatan di sekitar Lembah Klang semalam kerana disyaki terlibat aktiviti kumpulan pengganas di Syria. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kesemua suspek yang ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, berumur di antara 28 hingga 34 tahun.  

Beliau berkata, suspek pertama berusia 34 tahun itu merupakan isteri kepada individu yang telah dituduh pada 11 November lepas atas kesalahan menghasut, menggalak atau memperolehi harta bagi perlakuan tindakan keganasan, kata Khalid dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 11 November lalu, seorang perunding kewangan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mencari harta bagi manfaat kumpulan militan Islamic State (IS) melalui blog Revolusi Islam.com sejak Mac lepas.  

Rohaimi Abd Rahim, 37, didakwa melakukan perbuatan itu di No.5B, Jalan Raja Ali, Kampung Baru di sini antara 29 Mac hingga 13 Oktober lepas.

Manakala suspek kedua wanita berumur 28 tahun bekerja sebagai 'event manager' di Kuala Lumpur.

Suspek ketiga lelaki berusia 33 tahun, bekerja sebagai penolong eksekutif di salah sebuah badan berkanun.

"Kesemua mereka disyaki terlibat mengendalikan beberapa akaun Facebook yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan IS di Syria.

"Selain itu, mereka juga disyaki terlibat kegiatan pengumpulan dana yang mempunyai kaitan dengan penghantaran rakyat Malaysia ke Syria menyertai kumpulan IS," kata Khalid.

Menurut beliau, mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIa, kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). - Bernama

....Berita 22 November 2014...berkaitan dengan berita IS hari ini....

2 penjawat awam ditahan terlibat IS.......SINAR HARIAN

Khalid Abu Bakar


SHAH ALAM – Tiga individu termasuk dua penjawat awam antara yang ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas dalam operasi sekitar Kuala Lumpur dan Kedah pada 27 dan 28 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penangkapan ketiga-tiga suspek berusia 23 hingga 36 tahun kerana disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan militan di Syria.

Beliau berkata, salah seorang suspek berumur 36 tahun dipercayai telah menyertai kumpulan militan di Syria sejak 28 Disember tahun lalu dan kembali ke Malaysia pada 8 April lalu.

“Sementara dua lagi suspek merupakan penjawat awam berumur 23 hingga 28 tahun antara yang terlibat dalam menyalurkan dana kepada beberapa rakyat negara ini yang ingin menyertai kumpulan militan negara Islam (IS) di Syria,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurut Khalid, kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab 4A-Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012 (Akta 747).


....Perjuangan untuk bangsa, dan tanahair telah luntur kah kita...

AKTA HASUTAN KUKUHKAN AGAMA ..........SINAR HARIAN...


Akta Hasutan



MENCINTAI negara adalah manifestasi cinta yang teragung selain cinta kepada ALLAH dan Rasul, agama, diri sendiri dan ibu bapa. Agama Islam sangat menggalakkan rakyatnya mencintai negara.

Semangat cinta negara mesti dididik sejak seseorang itu di bangku sekolah lagi dan biar berkembang subur dalam jiwa rakyatnya secara berterusan.

Rasa cinta pada negara akan menjadikan setiap rakyat bertanggungjawab untuk memajukan negara dalam pelbagai bidang meliputi sosial, ekonomi, politik, agama dan juga pendidikan.

Dalam menghadapi apa juga musibah, dugaan dan cubaan rakyat mestilah bersatu dengan dipandukan ilmu.

Melaluinya akan wujud semangat persefahaman, keinginan dan keupayaan untuk mencapai perubahan dan yang lebih mustahak ialah membina maruah dan harga diri.

Bagi bangsa yang telah lama tertekan dan berada dalam kongkongan penjajahan, kemerdekaan adalah pembebasan menonjolkan kedaulatan bangsa dalam pelbagai bidang.

Justeru, langkah mengekalkan Akta Hasutan 1948 dengan dua peruntukan khas dimasukkan iaitu melindungi kesucian Islam dan agama lain daripada dihina dan tindakan keras ke atas mereka yang menghasut Sabah, Sarawak keluar dari Malaysia, sewajarnya mendapat sokongan daripada kalangan mereka yang inginkan Malaysia aman damai dan tidak mempolitikkan perkara-perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Membangkang memang senang, mempolitikkan juga memang nampak cantik, tetapi memberikan idea yang baik kepada keamanan dan kestabilan negara agak susah.

Apa yang kita nikmati sekarang adalah berkat kesabaran dan kita harus bersyukur dengan nikmat negara yang merdeka, aman makmur dan sejahtera.

Jika tidak ada semangat tersebut akan hilanglah rasa cinta akan agama dan negara serta luntur semangat patriotisme serta lupa akan sejarah negara.

Melalui semangat patriotisme akan dapat mewujudkan agenda penting iaitu agenda pembinaan bangsa dan negara yang bersatu-padu.

Kemajuan serta pencapaian Malaysia dalam konteks pembinaan negara bangsa telah wujud dengan semangat perpaduan dan kerjasama antara kaum. Apabila perpaduan dan kerjasama tidak wujud lagi maka akan timbul usaha 'pecah perintah' yang diinginkan oleh seseorang pemimpin yang ingin berkuasa.

Sejarah harus difahami dengan berlandaskan fakta yang tepat supaya tidak wujud rakyat dan pemimpin yang 'buta sejarah’ terutama tentang sejarah negara di mana tempat mereka lahir, dibesarkan dan hidup dengan aman dan sejahtera.

Sebagai rakyat juga harus kenal siapa penjajah dan siapa penjarah? Mempolitikkan sejarah boleh membawa pelbagai keburukan dan padah.

Mempertahankan negara daripada musuh dan ancaman luar merupakan satu tanggungjawab setiap rakyat. Kesetiaan kepada raja dan negara yang ditunjukkan oleh setiap warganegara melalui sumbangan dan pengorbanan merupakan unsur cinta akan negara yang amat penting. Mempertahankan keselamatan harta dan keluarga serta jiwa sangat dituntut dalam Islam.

Sejak dahulu ribuan pejuang kemerdekaan telah gugur di medan pertempuran demi mempertahankan negara. Mereka adalah para syuhada yang mempertahankan negara dengan nyawa hingga ke titisan darah terakhir.

Justeru, Nabi SAW berpesan: “Orang yang tewas melindungi keselamatan hartanya, mati syahid dan yang membela (kehormatan) keluarganya, mati syahid dan membela dirinya (kehormatan dan jiwanya), juga mati syahid.” (Riwayat Ahmad).

Membina generasi terutama anak-anak muda ke arah ketakwaan dan cinta akan negara adalah tanggungjawab kepada semua ibu bapa, guru-guru dan juga pemimpin masyarakat.

Unsur cinta akan negara ini perlu disemai dalam kalangan generasi muda, khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Nilai-nilai cinta akan negara seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban, kesukarelaan, cintakan bangsa dan negara perlu dipertingkatkan bagi membentuk rakyat Malaysia yang patriotik dan bertanggungjawab pada bangsa dan negara.

Agama Islam terus dikembangkan sebagai agama rasmi dan agama lain tidak dilarang dalam kehidupan beragama serta dihormati dan tidak dihina.

Antara cara yang perlu rakyat lakukan sebagai menghargai amalan demokrasi di Malaysia termasuklah tidak menghina agama dan budaya kaum-kaum lain, sama ada melalui perkataan mahupun melalui tindakan.* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.