Tuesday 2 December 2014

Mahasiswa sasaran direkrut militan....SINAR HARIAN ... 2 November 2014













pdrm



KUALA LUMPUR - Kumpulan militan seperti Negara Islam (IS) menyasarkan mahasiswa bagi merekrut pengikutnya untuk berjuang di Iraq dan Syria.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kaunter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, penglibatan mahasiswa di Malaysia terhadap aktiviti militan masih lagi terkawal bagaimanapun ia harus dibendung kerana mampu merebak dengan cepat.

“Keadaan sekarang terkawal, polis sentiasa 10 langkah di hadapan. Modus operandi mereka lebih tersasar kepada pelajar kerana pelajar-pelajar ini banyak meluangkan masa di media sosial.

“Kita juga kesan beberapa penyebaran yang dibuat melalui media sosial daripada hasil tangkapan yang telah dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian selepas hadir menjadi panel di Seminar Jihad vs Militan, di Universiti Teknologi Malaysia, semalam.

Menurutnya, kebanyakan mereka yang terlibat menggunakan Facebook untuk merekrut pelajar.

Beliau berkata, setakat ini seramai 41 individu sudah dikenal pasti terlibat dengan kumpulan militan itu, dan 14 orang sudah dihadapkan ke mahkamah manakala selebihnya akan didakwa dalam tempoh terdekat.

“Mungkin (didakwa) minggu depan, kita hanya tunggu arahan Peguam Negara.

“Daripada 14 orang yang didakwa itu, hasil soal siasat dan bukti yang diperolehi menunjukkan mereka gunakan laman sosial untuk rekrut pelajar universiti ke Syria,” katanya.

Menurutnya, polis mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat yang dianggap penting kerana gerakan itu bergerak secara senyap.

“Sebagai contoh penahanan seorang wanita di lapangan terbang baru-baru adalah berdasarkan maklumat ahli keluarga dan rakan-rakannya. Jika tiada maklumat seumpama ini agak sukar kita bertindak,” katanya.

Kelmarin, seorang wanita berusia 25 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan cuba menjadi anggota kumpulan militan IS.

Ummi Khalsom Bahok, 25, didakwa cuba memberi sokongan kepada IS dengan mengambil penerbangan dari KLIA2, Sepang ke Brunei dan Istanbul, Turki untuk berkahwin dengan anggota kumpulan itu.







0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home